Monday, December 1, 2008

chapter 4.. M-ifw 2008 in Kosmo

Peragaan 14 pereka

Pentas peragaan antarabangsa M-IFW 2008 memberi peluang kepada pereka bumiputera berkongsi ilham kreatif mereka.


HASIL karya pereka muda yang mewakili BDA boleh dibanggakan.


KESUNGGUHAN yang ditunjukkan pereka-pereka Melayu untuk membuktikan keupayaan mereka bersaing dalam industri fesyen dipertontonkan pada hari kedua Malaysia International Fashion Week 2008 atau M-IFW di bawah panji Bumiputra Designers Association (BDA).

Pereka tersohor Radzuan Radziwill yang diberikan penghormatan membuka tirai pentas peragaan telah mempertontonkan koleksi memukau sementara ditutup dengan final mengasyikkan oleh pereka berpengalaman Datin Sharifah Kirana dengan koleksi istimewanya.

Petang tersebut juga turut menyaksikan beberapa lagi pereka negara yang sudah bertapak sekian lama di arena fesyen tempatan seperti Rahman Saif dan Jedan serta 12 lagi nama lain yang sedang memuncak seperti Hatta Dolmat, Jasmi Rejab, Amir Luqman, Aida Wati Saidin, Rizman Ruzaini dan Zery Zamry.

Turut mempertontonkan koleksi terdiri daripada 10 rekaan setiap seorang di mana satu adalah haute couture, enam sedia pakai atau ready-to-wear dan tiga busana anggun sopan ialah Hazwani, Azura, Khairi Sufi, Faizell, Anizam dan Nik Erwan.

Walaupun agak terlalu awal untuk memperkatakan sejauh mana usaha BDA membantu para pereka dan karyawan seni kreatif, usaha menyatukan 16 pereka bumiputra di atas satu pentas adalah satu permulaan yang baik. Malah, ia adalah kemunculan dan pementasan fesyen pertama seumpamannya.




Seandainya mahu dikupas secara terperinci tentang setiap koleksi 14 pereka yang mewakili BDA, tentu ada yang perlu disentuh dan nasihat agar terus diperbaiki.

Antara yang perlu diberi perhatian termasuklah pemilihan fabrik yang kurang bertepatan, potongan dan jahitan yang kurang sempurna. Begitu juga dengan penyudah yang kurang teliti. Tetapi diharapkan apa juga kekurangan yang ada diperbaiki dari semasa ke semasa.

Menurut Timbalan Presiden BDA, Sofea Bee, mungkin pada tahun-tahun akan datang BDA akan muncul bukan sahaja dengan persembahan himpunan pakaian tetapi satu konsep bersepadu.

Sebagai contoh BDA akan menyelenggarakan segala konsep solekan dan dandanan, setiap peragawati akan diselaraskan dengan imej dan konsep setiap pereka yang mengambil bahagian.

“Dengan cara ini sahaja barulah BDA dapat memberikan imej yang sempurna pada setiap persembahan dan koleksi sekali gus dapat mengenengahkan hasil kerja jurusolek dan jurudandan bumiputera. Sebenarnya kita mempunyai ramai tenaga kreatif bumiputera tetapi mereka tidak diberi peluang untuk mempamerkan kreativiti.”

Majlis yang diserikan oleh kehadiran Datin Seri Shuryani Shuaib, isteri Menteri KEKWA ini juga turut berhibur dengan persembahan Shara Eknor yang membuat persembahan hebat dan penyanyi remaja yang hangat kini, Nubhan AF6.




Acara istimewa ini turut menerima penajaan daripada MATRADE, Maya Silk House, L'Oreal, Le Reve, majalah Tell dan Chinoz.

Acara yang merupakan aktiviti penting bagi BDA sebelum menutup tirai 2008 ini juga adalah kolaborasi dengan M-IFW buat kali pertama. Kesungguhan BDA dalam usahanya untuk membantu dan meningkatkan potensi rekaan di kalangan pereka semakin ketara dengan beberapa aktiviti yang dijalankan sejak awal tahun lagi.

Dengan semangat juang yang tinggi di kalangan pucuk pimpinan dan ahli yang terbabit serta mengamalkan sikap neutral, tidak hairanlah pada usia hanya dua tahun ia berjaya mengendalikan beberapa aktiviti sederhana dan besar sama ada untuk pihak korporat dan NGO mahupun bagi BDA sendiri.

Acara yang turut disaksikan lebih 400 tetamu ini sesungguhnya amat relevan untuk menyokong industri berkaitan fesyen dan mampu membantu ahli bumiputera dalam mengejar impian mereka. Namun demikian, hasrat tersebut hanya mampu tercapai apabila ia mendapat sokongan daripada pelbagai pihak terutama pihak kerajaan dan pihak korporat.

Pandangan ramai

Secara rambang, ramai berpendapat hasil kerja pereka muda yang mewakili BDA boleh dibanggakan. Terdapat beberapa koleksi yang menunjukkan daya kreativiti tinggi dan mempunyai potensi untuk terus digilap. Mungkin satu hari boleh diberikan keistimewaan untuk dibantu hingga mereka berjaya mencipta nama segah dan seganding Radzuan, Kirana, Datuk Tom Abang Saufi dan Rizalman Ibrahim.




Ramai tetamu pada petang tersebut kagum dengan hasil kerja pereka muda yang dianggap inovatif dan menunjukkan hasil kerja cemerlang.

Walaupun kebanyakan koleksi sesuai dengan remaja dan menunjukkan keterujaan yang amat ketara, terdapat juga rekaan yang bercirikan kesopanan untuk peminat fesyen dewasa.

Selain hasil kerja Sharifah Kirana dan Radzuan Radziwill yang lebih bersifat haute couture dan matang, Jedan dan Rahman Saif turut menghasilkan pakaian yang boleh dipakai oleh golongan pertengahan baik dari segi usia mahu pun kedudukan dalam masyarakat.

Sementara itu Hatta Dolmat, Aida Wati saidin, Amir Luqman, Jasmi Rejab dan Rizman Ruzaini turut memberikan impak pada persembahan petang tersebut.

p/s: Thanks to Kosmo so much. Puas huhu.

No comments: